[UMPSA NEWS] Tuaian Patin dan Pelepasan Benih Baharu Penanda Aras Kejayaan iSenseFishery
Program Tuaian Patin dan Pelepasan Benih Baharu bagi ternakan ikan sangkar berteknologi iSenseFishery telah berjaya dilaksanakan sebagai simbol kejayaan kitaran pertama penternakan ikan patin serta permulaan kitaran baharu projek berimpak tinggi ini.
Program yang dianjurkan di bawah Geran Translational Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini turut melibatkan pelepasan sebanyak 10,000 ekor benih ikan patin, sekali gus menandakan kesinambungan usaha memperkasa sektor akuakultur negara melalui pendekatan teknologi pintar. Projek Geran Translational ini melibatkan penternak ikan sangkar Patin di Kg. Padang Rumbia, Tn Hj. Mohd Rasli Yusof. Projek iSenseFishery memberi fokus kepada membantu penternak ikan tradisional dan konvensional dengan memperkenalkan penggunaan teknologi sensor berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengurusan operasi sangkar ikan. Data yang dikumpul melalui sistem sensor ini dianalisis oleh model AI bagi menyokong keputusan operasi penternakan secara lebih sistematik dan berasaskan data. Pendekatan inovatif ini dijangka mampu meningkatkan kecekapan pengurusan, produktiviti serta hasil pengeluaran penternakan ikan, selari dengan hasrat KPT untuk memacu pemindahan teknologi dan inovasi daripada institusi pengajian tinggi kepada komuniti dan industri.
Program ini telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Prof. Ts. Dr. Aida Mustapha. Turut hadir ialah Felo Penyelidik Utama Pusat Teknologi Industri Termaju (AIT) yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMPSA, Profesor Ir. Ts. Dr. Kamarul Hawari Ghazali, Pengarah AIT, PM. Dr. Nasrul Hadi bin Johari, Pemilik Sangkar Patin Tn Hj Mohd Rasli Yusof serta Dekan FTKEE, Prof. Ts. Dr. Hamzah bin Ahmad.
Sumber: LINK
