Official Website    

Sukee 3.0 Memukau: Semangat Kesukanan Warga FTKEE Gegarkan Kampus

Sukee 3.0 Memukau: Semangat Kesukanan Warga FTKEE Gegarkan Kampus

Sukan Elektrik dan Elektronik (SUKEE 3.0) anjuran Electrical & Electronics Engineering Society (EEES) telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang selama dua hari berturut-turut pada 6 hingga 7 Jun yang lalu. Kejohanan tahunan ini diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat sukan terpendam di samping mengeratkan ukhuwah dan menyemai semangat gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Pada hari pertama kejohanan iaitu 6 Jun, suasana fasa awal saingan bermula dengan penuh bertenaga apabila beberapa acara sukan padang dan gelanggang mula membuka tirai perlawanan. Antara lokasi tumpuan utama sukan pada hari pertama tersebut ialah di gelanggang Bola Tampar, Sepak Takraw, dan Petanque. Sorotan penuh dramatik menyaksikan setiap pasukan mempamerkan strategi mantap demi memburu mata penting bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Memasuki hari kedua, momentum kejohanan semakin memuncak apabila seawal pagi diteruskan dengan penganjuran sukan futsal dan sukan tradisional. Acara-acara fizikal yang menguji ketangkasan ini telah dijalankan secara serentak bertempat di Gelanggang Futsal dan Gelanggang Bola Jaring. Sorak-sorai daripada para penyokong yang hadir memenuhi ruang legar gelanggang menambahkan lagi kehangatan dan kebingitan suasana saingan.
Pada masa yang sama, arena kompetitif sukan elektronik atau Esport turut mengambil tempat bagi memenuhi minat mahasiswa dalam sukan digital. Acara eFootball dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) telah dijalankan dengan penuh debaran bertempat di Dewan Peperiksaan Elektrik (DPE). Penggunaan infrastruktur DPE sebagai pusat kejohanan maya ini berjaya memberikan suasana kondusif serta fokus yang maksima kepada para pemain yang bertanding.
Kemuncak kepada karnival sukan dua hari ini adalah Majlis Perasmian Penutup dan sesi pembahagian medal yang diberikan kepada pemenang-pemenang bagi setiap kategori, yang dijalankan pada sebelah petang hari kedua. Majlis penuh bermakna ini telah diserikan dengan kehadiran barisan panel kehormat dan VIP universiti termasuklah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (TDHEPA), Dr. Suliana binti Ab. Ghani; Penasihat EEES, Ts. Dr. Rohana binti Abdul Karim; Presiden EEES, Muhammad Farris Haeikal bin Nazri; serta Pengarah Projek SUKEE 3.0, Iffa Nazurieen binti Izamri.
Sehingga majlis penutup melabuhkan tirainya, keseluruhan program berjalan dengan lancar hasil komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak termasuklah barisan atlet dan urus setia pelaksana. Penganjuran SUKEE 3.0 kali ini nyata bukan sahaja berjaya melahirkan jagoan sukan baharu fakulti, malah menjadi bukti kukuh kebersamaan dan kesatuan warga FTKEE dalam menyuburkan ukhuwah inklusif di menara gading.
Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network