[UMPSA NEWS] Hari Jepun UMPSA memperkukuh kerjasama dalam memperkasakan TVET Termaju
PEKAN, 7 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penganjuran Japan Day: Empowering Advanced TVET Education in Collaboration with the Embassy of Japan in Malaysia bersempena dengan sambutan Hari TVET Negara 2026 peringkat universiti.
Program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Japanese Language Professional Club (JANPU) dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia itu berjaya menghimpunkan pelajar universiti, warga sekolah, wakil industri serta komuniti setempat dalam meraikan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun melalui pendidikan, budaya, teknologi dan pembangunan modal insan.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasakan pendidikan TVET termaju bertaraf global melalui kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa.
“Hubungan erat yang terjalin antara UMPSA dan Kedutaan Jepun di Malaysia merupakan satu bentuk kizuna atau ikatan persahabatan yang menjadi asas kepada pembangunan kerjasama dalam bidang pendidikan, teknologi, inovasi dan pembangunan bakat.
“Jepun merupakan sebuah negara yang berjaya menggabungkan kemajuan teknologi, kecemerlangan industri dan pembangunan modal insan secara seimbang.
“Nilai-nilai seperti disiplin, ketepatan, daya tahan dan inovasi yang diamalkan masyarakat Jepun amat bertepatan dengan aspirasi UMPSA untuk menjadi Hab TVET Termaju Asia Pasifik menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Sumber: Hari Jepun UMPSA memperkukuh kerjasama dalam memperkasakan TVET Termaju | UMPSA News
