Official Website    

Murid SK Tanah Putih Baru Teruja Terokai Inovasi STEM Bersama FTKEE UMPSA

Murid SK Tanah Putih Baru Teruja Terokai Inovasi STEM Bersama FTKEE UMPSA

14 Oktober 2025- Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah turut memeriahkan Minggu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Kebangsaan Tanah Putih Baru, Kuantan. Program ini menampilkan tujuh aktiviti utama yang dirangka khusus bagi memberi pendedahan dan pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada lebih 330 orang murid dan guru sekolah berkenaan.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Chem-E Car, yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Hamzah Ahmad dan Ts. Dr. Yasmin, melibatkan enam kumpulan murid Tahun Enam dalam pembinaan kereta menggunakan bahan terpakai. Pertandingan ini memberi peluang kepada murid mereka bentuk dan menguji keupayaan kereta ciptaan mereka untuk bergerak dalam dua jenis litar berbeza. Aktiviti RoboSumo pula menarik perhatian ramai dengan kehadiran Prof. Madya Ts. Dr. Razali Daud bersama Dr. Amir Izzani dan Pn. Haszuraidah yang mempersembahkan empat robot dalam perlawanan menarik. Pendekatan ini berjaya mencetuskan minat murid terhadap dunia robotik dan kawalan automasi.

Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Sharfi Najib memperkenalkan teknologi E-Nose, yang menggabungkan konsep deria bau manusia dengan kejuruteraan penderia, memberi inspirasi kepada murid tentang bagaimana teknologi boleh meniru sistem biologi manusia. Aktiviti Dron yang dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadhil Abas bersama Ts. Mohd Redzuan Ahmad dan Ts. Mohd Falfazli Jusof turut menjadi tarikan utama apabila murid diberi peluang mengendalikan dron sendiri.
Turut sama memeriahkan program ialah Prof. Madya Ts. Dr. Mawardi Saari yang memperkenalkan teknologi Wireless Power Transfer (WPT) untuk memberi kefahaman kepada murid tentang konsep pemindahan tenaga tanpa wayar berasaskan medan magnet. Tidak ketinggalan, Dr. Syukran Hakim turut memperkenalkan teknologi parametric speaker, yang menonjolkan inovasi dalam penyaluran bunyi berfokus bagi meningkatkan kualiti audio dalam pelbagai aplikasi.

Penganjuran aktiviti ini bukan sahaja berjaya menarik minat murid terhadap bidang STEM, malah memperkukuh hubungan kolaboratif antara universiti dan komuniti sekolah dalam usaha memupuk generasi muda yang berfikiran kreatif, inovatif dan berpengetahuan teknologi tinggi.

Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network