Memperkukuh Kerjasama Akademik Melalui Perkongsian Persediaan Akreditasi
15 September 2026 | Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi Lawatan Kerjasama Akademik dan Perkongsian Persediaan Akreditasi.
Lawatan ini melibatkan perkongsian dan perbincangan berkaitan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) dengan Kepujian (BELK) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian (BELT) daripada UTeM, serta Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Tenaga) dengan Kepujian (BTE) daripada UMPSA.
Delegasi UTeM yang hadir terdiri daripada Ts. Dr. Mohd Firdaus bin Mohd Ab Halim, Ketua Jabatan; Dr. Mohd Saifuzam bin Jamri, Ketua Program BELT; Ts. Dr. Mohd Zaidi bin Mohd Tumari, Ketua Program BELK; serta Ts. Dr. Mohd Razali bin Mohamad Sapiee, Ketua Program BELR/Wakil PSM IDP.
Sementara itu, pihak FTKEE UMPSA turut disertai oleh Profesor Ts. Dr. Hamzah bin Ahmad, Dekan FTKEE, bersama barisan pengurusan fakulti yang terlibat dalam sesi perkongsian dan perbincangan tersebut.
Sesi ini menjadi platform bagi kedua-dua institusi untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta pendekatan dalam pengurusan dan pelaksanaan program akademik, khususnya berkaitan persediaan akreditasi. Perbincangan turut memberi ruang kepada perkongsian berkaitan aspek kurikulum, pengurusan akademik, dokumentasi serta pelaksanaan penambahbaikan kualiti program. Lawatan ini diharap dapat memberikan nilai tambah kepada pengurusan program yang terlibat, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara FTKEE UMPSA dan UTeM dalam usaha berterusan memperkasa kualiti pendidikan serta memastikan program teknologi kejuruteraan elektrik kekal relevan dengan perkembangan bidang dan keperluan industri.
