FTKEE Sertai Perarakan Maulidur Rasul Bersama Warga UMPSA
9 September 2025 | Masjid Al-Jazari, UMPSA Pekan
Warga Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) turut serta memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan penuh semangat kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
Perarakan menuju Masjid Al-Jazari itu dipimpin oleh Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamzah Bin Ahmad, yang bersama-sama warga fakulti berganding bahu menyemarakkan alunan selawat sepanjang perarakan. Kehadiran kontinjen FTKEE yang penuh warna-warni menzahirkan komitmen fakulti dalam mendukung nilai ukhuwah, kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, serta pembentukan sahsiah mahasiswa.
Profesor Ts. Dr. Hamzah Bin Ahmad merakamkan penghargaan atas penyertaan warga FTKEE, serta berharap agar sambutan ini menjadi medan memperkukuh kecintaan mahasiswa kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW selain memperteguh aspirasi UMPSA dalam melahirkan ummah madani berteraskan ilmu, akhlak dan perpaduan.
Majlis sambutan turut diserikan dengan penglibatan kepimpinan universiti diketuai Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias, barisan pengurusan tertinggi, serta ceramah khas Maulidur Rasul oleh Al-Fadhil Ustaz Harryanto Rizal Lokman.