Official Website    

Eksplorasi Industri di MIMOS Berhad: Pembelajaran Dunia Sebenar untuk Generasi Teknokrat

Eksplorasi Industri di MIMOS Berhad: Pembelajaran Dunia Sebenar untuk Generasi Teknokrat

Lawatan teknikal ke MIMOS Berhad telah berlangsung pada 4 Disember 2025 di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil, melibatkan 68 orang pelajar dan lima orang pensyarah pengiring yang terdiri daripada Dr. Marlina Yakno, Ts. Dr. Noorazliza Sulaiman, Dr. Syukran Hakim, Dr. Norhadzfizah Radi dan Dr. Noor Zirwatul selaku Ketua Program BTS. Lawatan ini direalisasikan melalui kerjasama rapat dengan Industry Advisory Panel (IAP) program BTS, khususnya Ir. Dr. Hazian selaku Head of Research Management Office, MIMOS Berhad.
 
Penganjuran ceramah dan lawatan industri menjadi wadah penting dalam memperkukuh kemahiran psikomotor pelajar serta meningkatkan pemahaman kontekstual melalui pendedahan kepada persekitaran operasi sebenar. Menerusi lawatan ini, pelajar didedahkan kepada ekosistem penyelidikan dan pembangunan di MIMOS termasuk teknologi IoT, kecerdasan buatan, analitik data dan sistem pintar, dengan sokongan penerangan menyeluruh oleh pakar industri mengenai aplikasi dunia sebenar selari dengan kandungan kursus yang dipelajari.
 
Selain memberikan gambaran langsung tentang ekosistem teknologi tinggi, program ini turut membuka ruang jaringan profesional antara pelajar, pensyarah dan penyelidik MIMOS. Perbincangan dua hala yang berlangsung membantu peserta memahami amalan terbaik, jangkaan industri serta peluang kerjaya dan penyelidikan dalam landskap teknologi semasa, sekali gus menyuntik motivasi untuk memperkukuh kemahiran teknikal dan inovasi.
 
Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan praktikal mengenai teknologi termaju, malah turut memahami keperluan industri dan arah aliran teknologi masa depan. Inisiatif sebegini menyokong aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan teknologi yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri.
Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network