38 Pelajar SMK Wakaf Tapai Terokai Dunia Kejuruteraan di FTKEE UMPSA
6 Ogos 2026 | UMPSA Pekan
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA berbesar hati menerima kunjungan 38 pelajar Tingkatan 4 bersama empat orang guru pengiring dari SMK Wakaf Tapai, Kuala Terengganu menerusi program lawatan sambil belajar ke Kampus Pekan.
Kunjungan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat kehidupan kampus, bidang teknologi kejuruteraan elektrik dan elektronik serta peluang melanjutkan pengajian di UMPSA selepas tamat persekolahan.
Sesi lawatan turut diserikan dengan taklimat akademik yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FTKEE, Ts. Dr. Raja Mohd Taufika Raja Ismail, yang berkongsi mengenai program pengajian, persekitaran pembelajaran serta prospek kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Para pelajar turut berpeluang mengikuti taklimat kemasukan UMPSA sebelum dibawa meneroka beberapa makmal pengajaran dan penyelidikan FTKEE. Pendedahan secara langsung terhadap kemudahan dan teknologi yang digunakan dalam pembelajaran pastinya memberikan pengalaman baharu kepada para pelajar tentang dunia kejuruteraan yang lebih dekat dan realistik.
Semoga kunjungan ini menjadi satu pengalaman bermakna serta mencetuskan inspirasi kepada para pelajar untuk terus meneroka bidang STEM, TVET dan kejuruteraan, seterusnya menjadikan UMPSA sebagai antara destinasi pilihan dalam membina masa depan mereka.
Terima kasih SMK Wakaf Tapai atas kunjungan ke FTKEE. Jumpa lagi di UMPSA!
