120 Pelajar SMK Alor Akar Terokai Dunia TVET & STEM di FTKEE UMPSA
PEKAN | 30 September 2026 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan 120 orang pelajar Tingkatan 3 bersama 12 orang guru pengiring dari SMK Alor Akar, Kuantan sempena Bengkel Pemantapan TVET & STEM di bawah Program Personaliti Unggul (AAPEX).
Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat persekitaran pembelajaran di FTKEE serta meneroka aplikasi Teknologi, Kejuruteraan dan STEM melalui lawatan ke beberapa makmal pengajaran dan kemudahan fakulti. Antara kemudahan yang dilawati ialah Makmal Pendawaian Elektrik, Makmal Automasi, Makmal Alternatif Energy, Makmal Mini Plant dan Makmal Electropneumatic. Pendedahan ini membolehkan para pelajar melihat sendiri aplikasi teknologi dan sistem kejuruteraan dalam persekitaran pembelajaran sebenar, sekali gus memberikan gambaran awal mengenai bidang TVET serta peluang pengajian dan kerjaya dalam bidang kejuruteraan.
Program turut mendapat sokongan dan penglibatan Ts. Dr. Suliana binti Ab Ghani, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) serta Ts. Nazriyah binti Haji Che Zan @ Che Zain, Ketua Teknikal, bersama warga FTKEE yang terlibat dalam menjayakan sesi lawatan dan aktiviti sepanjang program.
Penglibatan FTKEE ini mencerminkan komitmen fakulti dalam memperluas pendedahan TVET dan STEM kepada generasi muda, di samping membuka ruang kepada para pelajar untuk mengenali lebih dekat bidang pengajian, kemudahan serta persekitaran akademik di FTKEE UMPSA.
