JULUNG KALI MAJLIS APRESIASI PELAJAR CEMERLANG & LONJAKAN AKADEMIK TINGKAT SEMANGAT MAHASISWA FTKEE bersama dengan Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik (EEES) sesi akademik 2022/2023 telah menganjurkan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang & Lonjakan Akademik FTKEE pada 28 Oktober 2023.
Majlis ini merupakan sesi penganugerahan dan penghargaan kepada mahasiswa dengan meraikan mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang iaitu GPA 3.50 dan keatas dan juga bagi mahasiswa yang mempunyai lonjakan prestasi yang baik sepanjang sesi akademik 2022/2023.
Dengan segala hormatnya, kami menjemput YBhg. Dato'/Datin/Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan untuk menghadiri Majlis Apresiasi Mahasiswa Cemerlang & Lonjakan Akademik (Semester II 22/23) pada ketetapan berikut:
Tarikh : Sabtu, 28 Oktober 2023
Masa : 8am – 12pm
Lokasi : DK300, FTKMA
Semoga kehadiran YBhg. Dato'/Datin/Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan dapat memeriahkan serta memberi sokongan kepada pelajar-pelajar cemerlang di majlis ini.
GAMBANG, 21 Oktober 2023 – “No Pain No Gain”, begitulah prinsip hidup yang dipegang oleh Nur Aishah Baharudin, 24 graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Anak kepada pasangan Baharudin Abu Hassan, 57 dan Azizah Abu Bakar, 55 itu percaya hakikat kehidupan bahawa tiada hasil yang akan diperoleh tanpa melalui sakitnya sebuah perjalanan ternyata membuahkan hasil apabila berjaya merangkul Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Pahang pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA, di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, hanya diri sendiri tahu kemampuan diri tetapi tetap tegar dalam berusaha untuk mencapai kejayaan.
“Hasilnya, saya berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.86 selain turut meraih Anugerah Dekan setiap semester sepanjang menjalani pengajian ijazah sarjana muda, katanya.
Menurut Jurutera Proses Pembuatan di Texas Instruments Electronics Malaysia (TIEM) itu, pensyarah kini menggunakan pendekatan open-ended.
“Pendekatan ini sangat bagus kepada para pelajar untuk menganalisa permasalahan yang diberikan dan jawapannya tidak tertumpu kepada satu malah pelbagai.
“Para pelajar tidak memfokuskan kepada satu jalan kerja malah pelbagai dan ini membuat para pelajar lebih memahami konsep secara dasar.
“Kandungan kokurikulum yang sangat sejajar dengan keperluan industri terkini turut menjadikan graduan UMP menjadi buruan industri,” katanya.
Sumber: LINK
Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri telah berkunjung ke Universitas Dinamika untuk kunjungan bersama perkongsian ilmu buat pelajar-pelajar Program Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer bagi syarahan tetamu antarabangsa dengan tema "'Transforming Smart City and Healthcare with AI and Computer Vision''.
Semasa perkongsian ilmu ini, Dr. Mohd Zamri telah memperkenalkan penumpuan kecerdasan buatan (AI), memahami transformasi bandar pintar dinamik menggunakan AI dan penglihatan komputer. Pensyarah kanan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UMPSA ini telah menerima lebih 20 anugerah penyelidikan peringkat kebangsaan dan antarabangsa daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI).
Menurutnya, teknologi ini boleh merevolusikan bandar pintar, kerana apabila diaplikasikan ia memberi kesan kepada kawalan lalu lintas, keselamatan awam dan sebagainya. Sementara itu, apabila digunakan pada aplikasi perubatan, teknologi berasaskan AI ini boleh merevolusikan dunia perubatan, membantu pengesanan awal dan rawatan diperibadikan untuk tumor otak dan penyakit paru-paru dan sebagainya.
Sumber:LINK
Para penyelidik dari FTKEE mencipta kejayaan di Hari Inovasi Jabatan Pertanian Johor 2023 dengan menerima 2 anugerah iaitu pingat emas daripada Inovasi Rumah Cendawan Teknologi Hijau dan pingat perak melalui produk hiliran tepung cendawan.
Anugerah ini merupakan permulaan untuk visi yang lebih besar. Semoga projek kerjasama Ada Fresh Farm-UMPSA ini dapat memberi manfaat kepada industri cendawan khasnya pengusaha cendawan pelbagai peringkat, universiti, pelajar dan menyokong hasrat negara menuju pertanian mampan.
Pasukan penyelidik FTKEE UMPSA terdiri daripada Dr. Nur Huda Binti Ramlan, Dr. Ahmad Syahiman Bin Mohd Shah Dan Dr. Mohamad Shaiful Bin Abdul Karim dengan kerjasama Cik Rasyada A.Rahman dari Ada Fresh Farm, Batu Pahat, Johor.
16 Oktober 2023
PEKAN, 17 Oktober 2023 - PaTrIoT atau singkatannya Parit Tray IoT ialah sistem pengairan solar menggunakan pengairan titik (drip) bagi mengairi tapak semaian kecil untuk biji benih kelapa sawit dengan menggunakan teknologi internet benda (internet of things).
Manakala Dulang Parit (Parit Tray) pula ialah peralatan yang digunakan bagi mencambahkan biji benih kelapa sawit dengan menggunakan teknologi IoT dalam mengawal air yang masuk ke dulang tersebut.
Menurut pensyarah kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Roshahliza M Ramli, 40, penyelidikannya yang bertajuk ‘PATRIOT: IoT-Enabled Solar Irrigation System for Oil-Palm Pre-Nursery’ itu telah bermula pada Mac 2021 dan siap sepenuhnya pada November 2022.
“Penyelidikan ini bermula setelah saya berjaya menyiapkan sistem pengairan solar pintar pada tahun 2020.
“Sewaktu Pertandingan Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREx) 2020, saya telah didatangi oleh pegawai daripada YP Plantation Holdings Sdn. Bhd. yang berminat dengan sistem tersebut untuk dipasangkan di tapak semaian kecil kelapa sawit yang baharu dibina oleh mereka.
“Bermula dari situ, kami cuba memperbesarkan skala sistem yang telah dibuat sebelum ini kepada kawasan tapak semaian kecil seluan 0.7 hektar,” ujar anak kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini,” ujarnya.
Katanya, sistem yang telah dibangunkan ini menggunakan tenaga solar sepenuhnya sebagai sumber kuasa kepada peralatan dan komponen yang digunakan di dalam projek ini.
“Kami menggunakan pam air solar bagi menyalurkan air dengan tekanan yang cukup daripada tangki simpanan air ke 46 jalur pengairan.
“Setiap satu jalur tersebut dapat mengairkan sehingga 2,400 biji benih serentak setelah injap air dibuka secara automatik mengikut masa yang telah ditentukan oleh penyelia ladang atau melalui sensor yang dipasang pada setiap jalur tersebut.
“Setiap injap air di jalur pengairan dapat juga dikawal selia melalui aplikasi mudah alih yang dibangunkan bersama-sama sistem ini,” katanya.
Penyelidikan itu dijalankan bersama pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Dr. Nadzirah Mohd Mokhtar dan Pegawai Latihan Vokasional Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi (PRInT), Ts. Joharizal Johari.
Penyelidikan ini juga turut dibantu oleh Felo Perunding and Penasihat Projek, Dato’ Dr. Mortaza Mohamed serta beberapa pelajar tahun akhir diploma dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan di FTKEE.
