[UMPSA NEWS] UMPSA raih 6 pingat, Ts. Nurul Wahidah dinobat Best Women Inventor Award dalam ITEX 2026
KUALA LUMLUR, 19 Mei 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus melakar kejayaan membanggakan apabila meraih empat pingat emas dan dua pingat perak dalam 37th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2026 yang berlangsung pada 18 hingga 20 Mei 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Lebih membanggakan, pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Ts. Nurul Wahidah Arshad turut menerima pengiktirafan khas Best Woman Inventor Award menerusi inovasi DEWBoard©️, sekali gus mengangkat nama UMPSA di pentas antarabangsa.
Penyelidikan DEWBoard©️ merupakan kit pembelajaran elektronik digital yang dibangunkan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran kursus elektronik digital secara lebih interaktif, praktikal dan mesra pengguna.
Menurut Ts. Nurul Wahidah, inovasi ini direka khas untuk membantu pelajar memahami konsep litar digital melalui pendekatan pembelajaran secara hands-on tanpa terlalu bergantung kepada kemudahan makmal yang kompleks.
“Kit pembelajaran ini mempunyai reka bentuk kompak dan mudah alih, menggunakan kuasa rendah dan hanya memerlukan USB power bank sebagai sumber tenaga.
“Selain itu, DEWBoard©️ juga tidak memerlukan pendawaian rumit dan penggunaan peralatan makmal berskala besar, sekali gus menjadikannya lebih fleksibel serta sesuai digunakan dalam bilik kuliah dan aktiviti pembelajaran TVET.'
