[UMPSA NEWS] FTKEE–Industry Forum & Networking Day Tingkatkan Jalinan Industri Teroka Peluang Kerjasama
PEKAN, 25 November 2025 - Penganjuran FTKEE–Industry Forum & Networking Day berjaya menarik minat 19 wakil industri hadir bagi meneroka peluang kerjasama dan berkongsi kepakaran dengan penyelidik daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Hadir merasmikan program Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha.
Turut sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad.
Menurut Profesor Ts. Dr. Aida yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA berkata, program ini membuka ruang kepada perkongsian keperluan penyelidikan, peluang kerjasama geran industri/matching, penerbitan bersama, penyeliaan pelajar pascasiswazah, latihan industri serta pemindahan teknologi.
“Saya percaya forum dan sesi jaringan hari ini bukan sahaja membuka ruang perbincangan tetapi menjadi landasan untuk memperkukuh hubungan yang berpanjangan antara UMPSA dan industri.
“Malahan kolaborasi yang berterusan ini juga dapat meneroka peluang bersama dalam penyelidikan terapan, pembangunan teknologi baharu serta perkongsian kepakaran yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
