Official Website    

Sesi Townhall Naib Canselor UMPSA Bersama Warga FTKEE Perkukuh Agenda TVET Termaju

Sesi Townhall Naib Canselor UMPSA Bersama Warga FTKEE Perkukuh Agenda TVET Termaju

13 Mei 2026, Dewan Kuliah 1, FTKEE UMPSA Pekan -Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias telah hadir menyantuni warga Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) menerusi Sesi Townhall Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Kuliah 1, FTKEE UMPSA Pekan.

Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor (Strategik dan Korporat), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad, Ketua Pegawai Digital Pusat Pembangunan & Teknologi Maklumat, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal serta Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamzah bin Ahmad.

Program townhall ini merupakan platform perkongsian hala tuju universiti, pencapaian semasa serta strategi UMPSA dalam memperkukuh pendidikan TVET termaju, di samping meningkatkan jaringan bersama industri dan rakan antarabangsa. Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, UMPSA mempunyai kekuatan tersendiri menerusi kepakaran akademik dan hubungan erat bersama industri yang perlu terus diperkasakan bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi selari dengan kehendak industri semasa.

Sesi ini turut membuka ruang interaktif kepada warga akademik dan staf untuk berkongsi pandangan, idea dan aspirasi dalam usaha membina ekosistem pendidikan yang lebih dinamik, relevan dan berimpak tinggi. Antara perkara yang dibincangkan termasuk cabaran penarafan reputasi majikan, pemerkasaan Program Work-Based Learning (WBL), pembangunan bakat pelajar TVET serta penggunaan teknologi digital dalam proses penilaian pelajar. Selain itu, aspek penambahbaikan fasiliti pembelajaran turut diberi perhatian termasuk cadangan menaik taraf kemudahan dewan kuliah demi keselesaan warga universiti. Pelajar juga disaran memainkan peranan sebagai duta universiti melalui imej, komunikasi dan pengalaman pembelajaran yang mencerminkan identiti UMPSA.

Program anjuran Pejabat Naib Canselor bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ) ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh budaya kebersamaan, memperluas jaringan strategik industri serta melonjakkan kecemerlangan TVET negara ke tahap yang lebih tinggi.

Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network