Official Website    

Program SULAM “Bright Circuits” FTKEE Perkasa Pendidikan STEM Murid SJK(C) Pekan

Program SULAM “Bright Circuits” FTKEE Perkasa Pendidikan STEM Murid SJK(C) Pekan

PEKAN, 19 Mei 2026 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh usaha memperkasakan pendidikan STEM melalui pelaksanaan Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertemakan “Bright Circuits: SULAM Program on Basic Electrical Circuits and Interactive STEM” di SJK(C) Pekan, Pahang.
 
Program yang melibatkan seramai 82 pelajar kursus BEL1123 Circuit Analysis I (Seksyen 01 dan Seksyen 02) ini telah memberi manfaat kepada 101 murid Tahap 2 (Tahun 4 hingga Tahun 6) serta 10 orang guru pengiring melalui pelbagai aktiviti pembelajaran STEM yang interaktif dan berasaskan pengalaman. Bagi menjayakan program tersebut, pelajar dan jawatankuasa pelaksana telah bergerak ke SJK(C) Pekan menggunakan dua buah bas dan sebuah van UMPSA, mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong aktiviti pembelajaran berasaskan komuniti.
 
Program ini diketuai oleh Ts. Dr. Nurhafizah Abu Talip @ Yusof selaku Pengarah Projek dan Penyelaras Kursus BEL1123 Circuit Analysis I, dengan kerjasama Professor Ts. Dr. Hamzah Ahmad selaku pensyarah Seksyen 02. Program turut mendapat sokongan daripada ahli projek yang terdiri daripada Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Shaiful Abdul Karim, Dr. Suliana Ab Ghani, Dr. Rosdiyana Samad, Puan Salmiah Salim, Encik Mohd Shamsul Azmi Samsudin dan Encik Mohd Azlan Sayuti.
 
Program SULAM ini merupakan sebahagian daripada penilaian kursus BEL1123 Circuit Analysis I yang menyumbang sebanyak 20 peratus markah penilaian berterusan pelajar. Melalui tugasan ini, pelajar dikehendaki mengaplikasikan teori analisis litar, reka bentuk, simulasi dan pembangunan prototaip bagi menghasilkan aktiviti STEM yang sesuai untuk komuniti sekolah. Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif SULAM UMPSA yang telah mendapat kelulusan Jawatankuasa SULAM Universiti serta menerima peruntukan sebanyak RM2,000.
 
Walaupun tugasan akademik yang diberikan melibatkan konsep kejuruteraan yang kompleks, kandungan yang dibawa ke sekolah telah disesuaikan mengikut tahap pemahaman murid sekolah rendah. Fokus utama aktiviti adalah memperkenalkan konsep asas elektrik seperti fungsi bateri, wayar, suis, LED, litar siri dan litar selari melalui pendekatan yang mudah difahami, menyeronokkan dan berasaskan fenomena sains yang boleh diperhatikan secara langsung.
 
Salah satu keunikan program ini ialah kerjasama erat antara UMPSA dan pihak SJK(C) Pekan dalam merancang kandungan pembelajaran yang sesuai dengan tahap murid. Sebelum program dijalankan, pihak sekolah telah menyediakan set soalan pra dan pasca penilaian berdasarkan silibus murid Tahap 2. Soalan-soalan tersebut kemudiannya disusun dan diintegrasikan ke dalam aktiviti program bagi memastikan kandungan yang disampaikan benar-benar selaras dengan tahap pemahaman murid.
Program bermula dengan sesi pra-penilaian dan aktiviti ice breaking yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar UMPSA sebelum diteruskan dengan sesi pengenalan teori asas elektrik, demonstrasi projek serta aktiviti interaktif bersama murid.
Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network