Program Mobiliti Staf FTKEE UMPSA 2025
Tianjin University, China | 24 November – 5 Disember 2025
Inisiatif mobiliti staf ini merupakan usaha menyahut Agenda Transformasi 1 Amanat Naib Canselor UMPSA 2025 Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, pemerkayaan ilmu serta peningkatan kemahiran dalam kalangan warga universiti. Program ini turut memperkukuh agenda pengantarabangsaan UMPSA melalui jaringan strategik bersama universiti terkemuka dunia.
Lawatan mobiliti ini disertai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Anwar bin Zawawi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik ke Tianjin University, China, dengan sesi libat urus bersama:
- Prof. Tan Chao, Dean, School of Electrical and Information Engineering (Industrial Sensors)
- Prof. Deng Bin, Deputy Dean Academics (Neuron System & Control)
- Assoc. Prof. Dr. Shangjie Ren, Assistant Dean, Person-in-Charge Mobility (Process Tomography)
Naib Canselor dalam ucapannya menzahirkan harapan agar peserta mobiliti dapat memanfaatkan peluang ini untuk meneroka pengetahuan baharu, berkongsi amalan terbaik serta memperluas jaringan kerjasama akademik dan industri di peringkat global. Beliau menegaskan bahawa pengalaman seperti ini mampu memberi impak signifikan terhadap pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan geran bersama, seterusnya menyumbang kepada kelestarian universiti dalam jangka panjang.
Naib Canselor turut menekankan bahawa para peserta merupakan duta mobiliti yang membawa imej UMPSA ke peringkat antarabangsa serta berperanan sebagai pemimpin perubahan dalam landskap universiti. Sekiranya inisiatif ini berjaya mencapai sasaran, program mobiliti staf akan diperkukuh dan diteruskan pada tahun-tahun mendatang.
