Program CSR FTKEE UMPSA Semarakkan Minat Pelajar InSTAR Terhadap STEM
PEKAN, 19 Ogos 2026 – Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Kluster Penyelidikan RISC, SUPER dan APECCE, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR). Program ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara universiti dengan komuniti sekolah, di samping memperkenalkan bidang teknologi dan kejuruteraan kepada para pelajar.
Program bermula dengan pameran interaktif yang merangkumi teknologi dron, robot darat, robot bawah air, pengoptimuman, tenaga boleh baharu, asas litar elektrik, kejuruteraan automotif, sistem kuasa dan perlindungan kilat, Internet Benda (IoT), kejuruteraan rel serta pemindahan kuasa tanpa wayar. Pameran tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan berjaya menarik minat ramai pelajar. Mereka berpeluang menyaksikan demonstrasi teknologi, berinteraksi dengan tenaga akademik FTKEE UMPSA dan memperoleh gambaran lebih jelas tentang peluang pengajian serta kerjaya dalam bidang STEM.
Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan Pengetua InSTAR, Encik Mat Hatta bin Hassan, diikuti ceramah STEM oleh Ts. Dr. Suliana Ab. Ghani, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FTKEE UMPSA. Program kemudiannya dirasmikan oleh Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMPSA, sebelum diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil serta sesi bergambar.
Program yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohammad Fadhil bin Abas selaku Pengarah Program ini diharapkan dapat menyemai minat pelajar terhadap STEM serta mendorong mereka melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. FTKEE UMPSA merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan, guru dan pelajar InSTAR serta semua warga FTKEE UMPSA yang telah menjayakan program ini. Semoga kerjasama tersebut dapat diteruskan melalui lebih banyak program perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi pada masa hadapan.
