Pelajar UMPSA bangunkan Cropfit Compost Maker
PEKAN, 11 Ogos 2025 – Isu lambakan sisa bongkah lama di ladang-ladang kecil cendawan tiram di Malaysia semakin membimbangkan apabila kebanyakan sisa ini dibakar atau dibiarkan di kawasan lapang yang bukan sahaja menyebabkan pencemaran alam sekitar, malah turut mengundang kehadiran haiwan perosak yang boleh menjejaskan operasi ladang.
Melihat kepada keadaan ini, penyelidikan yang diketuai oleh pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Sudhish Rao a/l Narasinga Rao bersama rakan sekumpulan, Muhammad Nabil Najmi Alli, Muhammad Che Abdullah, Veneffa Michelle Anak Edward, Sri Prashad a/l Palani, dan Deniis a/l Chelliah telah menghasilkan Cropfit Compost Maker yang merupakan versi terbaik dan terbaharu yang telah dimulakan pada Semester I 2024/2025 di bawah subjek Integrated Design Project (BEL3724).
Menurut Sudhish Rao, potensi bahan buangan ini untuk dijadikan sumber yang bermanfaat telah menarik perhatian mereka selepas pemilik Ada Fresh Farm di Batu Pahat, Johor iaitu Rasyada A Rahman@Rahim. yang juga seorang graduan Bioteknologi telah menghasilkan formulasi baja dan bokashi daripada sisa cendawan tiram.
“Pemilik ladang tersebut turut menghantar sampel ke makmal FTKEE untuk dikaji dan divalidasi oleh pelajar tahun akhir.
“Idea membangunkan Cropfit Compost Maker tercetus selepas sesi temu bual bersama pemilik Ada Fresh Farm.
“Pemilik Ada Fresh Farm telah berkongsi cabaran menghasilkan baja kompos secara manual kerana proses itu memerlukan tenaga kerja tinggi dan tidak dapat dipantau dengan tepat dari segi kandungan nutrien,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi mengatasi masalah itu, pasukannya telah membangunkan sistem separa automasi yang menggabungkan fungsi penghancur automatik dan pemantauan masa nyata.
“Sistem ini dilengkapi penderia (sensor) NPK, suhu, kelembapan dan EC, paparan LCD dan integrasi notifikasi melalui aplikasi Telegram untuk memastikan kawalan kualiti kompos yang konsisten.
“Ia akan beroperasi dalam dua fasa iaitu pada fasa pertama, petani menetapkan masa dan kelajuan motor untuk proses penghancuran blok kompos cendawan dan selepas itu, penderia dimasukkan secara manual untuk memantau kandungan nutrien secara masa nyata.
“Bacaan dipaparkan pada LCD dan dihantar ke Telegram, memudahkan pemantauan kualiti kompos,” katanya.
Penyelidikan ini turut dibantu di bawah bimbingan Pensyarah FTKEE, Dr. Nur Huda Ramlan dan Rasyada A Rahman @ Rahim.