Membina Pengalaman, Memperkasa Masa Depan Kejuruteraan
1 September 2026 | KLIA Sepang
Seramai 17 pelajar Program Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA berangkat ke China bagi meneruskan pengajian menerusi Program Ijazah Dual UMPSA bagi sesi akademik 2026/2027 di Beijing Jiaotong University (BJTU).
Daripada jumlah tersebut, 14 orang merupakan pelajar lelaki dan tiga orang pelajar perempuan. Lebih membanggakan, seramai 13 pelajar menerima tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), manakala masing-masing seorang menerima tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Daya Diri dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.
Bagi memastikan kelancaran perjalanan dan memberikan sokongan kepada para pelajar sebelum berangkat, Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamzah bin Ahmad, turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar dan memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar. Turut bersama mengiringi pelajar ialah Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dr. Nur Aqilah binti Othman, yang turut hadir memberikan sokongan serta mengiringi para pelajar sebelum mereka memulakan perjalanan ke China.
Program Ijazah Dual ini membuka ruang kepada pelajar FTKEE untuk memperluas pengalaman akademik dalam persekitaran antarabangsa, meneroka perkembangan teknologi kejuruteraan serta membina jaringan dan perspektif global yang dapat menjadi nilai tambah dalam persediaan mereka menghadapi dunia industri.
Buat semua pelajar FTKEE yang berangkat, manfaatkan sebaiknya peluang yang diberikan. Timba ilmu, bina pengalaman, perluas jaringan dan jadilah duta kecil FTKEE serta UMPSA di persada antarabangsa.Selamat berangkat dan selamat menimba ilmu, warga FTKEE! Semoga perjalanan dipermudahkan dan pengajian yang bakal ditempuh menjadi pengalaman bermakna dalam membentuk jurutera masa hadapan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri global.
FTKEE sentiasa mendoakan kejayaan anda.
