Makmal Mini Plant FTKEE UMPSA Terima Panel MCC Dan SDB Baharu, Perkasa Agenda Tvet Berkemahiran Tinggi
PEKAN, 11 Jun – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melangkah setapak lagi dalam memperkasakan pendidikan TVET aras tinggi melalui penerimaan peralatan Motor Control Centre (MCC) dan Smart Distribution Board (SDB) bagi kegunaan Makmal Mini Plant, baru-baru ini.
Apa yang menarik, kesemua peralatan canggih ini diperoleh melalui inisiatif optimum peruntukan bahan usang yang diberi nafas baharu untuk tujuan latihan dan pembelajaran.
Sebagai persediaan awal, satu sesi latihan intensif telah dilaksanakan bagi memberikan kecekapan dan kemahiran praktikal kepada barisan pengajar serta staf teknikal fakulti dalam mengendalikan sistem tersebut secara mahir.
Sistem MCC dan SDB ini dilengkapi dengan tiga (3) mod pengendalian fleksibel apabila diletakkan pada kedudukan automatik (Auto) di panel SDB, iaitu:
1.Pengendalian Perkakasan (Hardware Control)
2.Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA)
3.Antarmuka Manusia-Mesin (HMI)
Inisiatif ini amat bertepatan dengan aspirasi UMPSA selaku salah sebuah universiti di dalam rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang komited memartabatkan acuan TVET berkemahiran tinggi. Kemudahan ini bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar program Teknologi dan Kejuruteraan Teknologi bagi mendedahkan mereka kepada ekosistem industri sebenar, sekaligus melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia mendepani cabaran industri masa hadapan.
