Lawatan Ilmiah SMK Bukit Guntong ke FTKEE UMPSA
Pekan, 31 Julai 2025 - Seramai 40 orang pelajar Tingkatan 4 dan 4 orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Guntong, Kuala Nerus telah berpeluang mengikuti lawatan bermaklumat ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini. Lawatan yang diadakan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik(FTKEE) merupakan sebahagian daripada inisiatif pendedahan awal kepada suasana dan bidang pengajian di peringkat pengajian tinggi.
Menurut Cikgu Norul Huda Tahir, Guru Bimbingan dan Kaunseling merangkap ketua rombongan berkata lawatan ini amat bermakna kerana ia memberi motivasi kepada pelajar untuk lebih berusaha mencapai kecemerlangan akademik agar dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading seperti UMPSA. "Pendedahan awal sebegini dapat membina asprirasi pelajar dan membuka minda mereka terhadap pelbagai laluan kerjaya yang menanti di masa hadapan. Kami juga berharap pelajar dapat merasai suasana persekitaran di universiti yang dikelilingi oleh landskap hijau yang menyegarkan serta kemudahan kampus yang serba lengkap dan teratur," ujarnya. Tambahnya lagi, kami amat menghargai sambutan yang diberikan oleh pihak UMPSA. Para pelajar juga sangat teruja kerana dapat melihat sendiri bagaimana pembelajaran dijalankan di universiti dan ini akan memberikan motivasi baharu untuk mereka terus berusaha dalam pelajaran.
Hadir menyampaikan taklimat akademik, Annas Hamirzul Iszal Madzar dari Pusat Pemasaran dan Kemasukan, Ir. Dr. Ruhaizad Ishak, Ketua Program (Teknologi Kejuruteraan Elektrikal), FTKEE yang turut menyampaikan taklimat akademik dan Dr. Nurul Fadzilah Hasan, Penyelaras Bahagian Promosi FTKEE. Lawatan ini diakhiri dengan kunjungan ke Makmal Pendawaian, Makmal Loji Mini dan Makmal Automasi dan Robotik, di mana pelajar berpeluang melihat demonstrasi peralatan elektroni dan suasana pembelajaran berteraskan praktikal serta teknologi semasa.