Lawatan Akademik Projek Capstone ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Pekan
Telah berlangsung Lawatan Akademik Projek Capstone ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Pekan, bertempat di Rumah Pam Skim Paya Pulau Jawa. Lawatan ini disertai oleh tiga orang pelajar Projek Capstone daripada program Bachelor of Engineering Technology (BTS) iaitu Dyrand Yesiling Katuaya, Muhammad Nur Iskandar bin Sufian, dan Amirul Haziq bin Abd Mutalib, dengan bimbingan Ts. Dr. Mohd Riduwan bin Ghazali selaku pensyarah pengiring.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sistem pemantauan paras sungai secara masa nyata (Real-Time River Level Monitoring and Early Warning System) yang dilaksanakan oleh pihak JPS. Melalui sesi taklimat dan lawatan tapak, pelajar berpeluang memahami dengan lebih mendalam operasi sebenar sistem berasaskan teknologi IoT yang digunakan dalam pemantauan dan amaran awal paras air Sungai Pahang.
Sepanjang sesi tersebut, para pelajar berinteraksi dengan pegawai JPS bagi mendapatkan penjelasan mengenai penggunaan pelbagai jenis sensor aras air, tolok hujan automatik, kamera pemantauan, serta mekanisme penghantaran data masa nyata ke pusat kawalan JPS. Lawatan turut merangkumi sesi soal jawab bersama pegawai teknikal bagi membincangkan aspek penggunaan data hidrologi serta penyelenggaraan sistem.
Secara keseluruhan, lawatan ini telah memberi pengalaman berharga kepada pelajar dalam mengaitkan teori dan amalan sebenar di lapangan, di samping memperkukuh kemahiran teknikal serta kefahaman terhadap aplikasi teknologi kejuruteraan dalam bidang pengurusan sumber air.
