Jalinan Hubungan Industri Antara ADTEC JTM Kampus Kuantan Dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
4 November 2025 | UMPSA Pekan
Seramai 23 orang pelajar dan 8 orang pegawai pengiring dari Bahagian Teknologi Elektrik, Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuantan telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Tapak Solar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkukuh jalinan hubungan industri antara ADTEC JTM dan UMPSA, khususnya dalam bidang teknologi tenaga boleh diperbaharui, di samping memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap aplikasi sebenar sistem tenaga solar fotovolta (PV).
Rombongan ADTEC JTM Kuantan diketuai oleh Ts. Norehan binti Abd Mutalib, Ketua Bahagian Teknologi Elektrik, yang juga merupakan alumni UMPSA dalam bidang Sarjana Tenaga Mampan (Master of Sustainable Energy), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
Menurut Ts. Norehan, tujuan utama lawatan adalah untuk mengumpul maklumat berkaitan tatacara pemasangan dan pengurusan sistem solar di UMPSA, yang telah diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan UMPSA dalam pengurusan tenaga yang berkesan menjadi contoh terbaik bagi institusi latihan teknikal untuk diterapkan dalam sistem pembelajaran pelajar.
“Melalui lawatan ini, pelajar dapat melihat sendiri aplikasi sebenar teknologi solar PV yang dipelajari di bilik kuliah. Ia bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembelajaran mereka, tetapi juga membuka peluang kolaborasi masa hadapan antara ADTEC dan UMPSA,” ujar beliau.
Sesi lawatan yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 1.00 petang dimulakan dengan taklimat oleh Ts. Haji Mohd Nurulakla bin Mohd Azlan daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) UMPSA, diikuti dengan lawatan teknikal ke tapak solar UMPSA. Para pelajar berpeluang memahami secara mendalam operasi dan penyelenggaraan sistem tenaga boleh baharu, termasuk kawalan tenaga, pemantauan prestasi, serta impak terhadap kelestarian alam sekitar.Para pelajar juga dibawa menaiki bas elektrik UMPSA disekitar kampus.
Pihak UMPSA turut menekankan kepentingan pengurusan tenaga secara berhemah dalam kehidupan seharian, serta pengumpulan data dan kaedah terbaik dalam pengurusan tenaga, yang menjadi asas kepada kejayaan UMPSA dalam mencapai pengiktirafan tertinggi di bawah Sustainable Development Goals (SDG) 7 (Affordable and Clean Energy )di mana UMPSA telah dinobatkan sebagai universiti pertama di Malaysia dan ke-18 terbaik di dunia dalam kategori tersebut.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Ts. Dr. Mohd Shafie bin Bakar dan Ts. Dr. Mohd Shawal bin Jadin, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMPSA, yang turut mengambil peluang untuk memperkenalkan program akademik dan peluang pengajian pascasiswazah di UMPSA, sekaligus mempromosikan universiti kepada pelajar-pelajar ADTEC JTM Kuantan.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara ADTEC JTM Kampus Kuantan dan UMPSA, tetapi juga membuka ruang kepada kerjasama masa hadapan dalam penyelidikan, latihan industri, dan pembangunan teknologi tenaga boleh baharu, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan agenda tenaga lestari negara.
