“Fun Day with The Reading Makchixx” Bawa Keceriaan dan Ilmu Digital ke SK Seri Biram
Pekan, 9 April 2025 – Gelak tawa, warna-warni dan semangat ingin tahu memenuhi ruang Sekolah Kebangsaan Seri Biram, Pekan apabila seramai 100 orang murid prasekolah menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan “Fun Day with The Reading Makchixx”, hasil kolaborasi The Reading Makchixx dan STEM Lab, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA.
Program ini bukan sekadar memberi hiburan, tetapi juga menyuntik kesedaran awal tentang kepentingan literasi digital, etika penggunaan telefon pintar, dan keselamatan dalam talian – isu yang semakin relevan walaupun di peringkat usia muda.
Antara aktiviti utama yang menceriakan hari anak-anak ini ialah:
Cerita Bergambar Digital yang disampaikan dengan penuh ekspresi dan semangat oleh fasilitator berpengalaman.
Aktiviti interaktif literasi digital, yang memperkenalkan konsep keselamatan maklumat dan pengenalan kepada penggunaan telefon secara beretika.
Pertunjukan boneka “Johny Johny”, yang membawa mesej penting mengenai bahaya berkongsi maklumat peribadi secara dalam talian dengan orang asing.
Program ini telah dikendalikan dengan cemerlang oleh pensyarah dan staf FTKEE UMPSA yang bertindak sebagai fasilitator. Pendekatan mereka yang interaktif, mesra kanak-kanak dan penuh empati menjadikan pengalaman ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga bermakna buat murid-murid yang terlibat. Inisiatif sebegini membuktikan komitmen UMPSA dalam menyumbang semula kepada masyarakat melalui ilmu dan pendekatan mendidik yang progresif.
Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini – dari tenaga pengajar, pasukan sokongan, hingga pihak sekolah yang begitu terbuka menerima kehadiran “The Reading Makchixx” dan UMPSA.