Official Website    

Dari Penyelidikan Ke Impak: Membina Ekosistem Masjid Pintar Berasaskan Data

Dari Penyelidikan Ke Impak: Membina Ekosistem Masjid Pintar Berasaskan Data

KUANTAN, 12–13 Ogos 2026 – Usaha menterjemahkan kepakaran dan hasil penyelidikan universiti kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada komuniti terus diperkukuh menerusi kolaborasi antara Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Masjid Tepian Putra Kuantan.
 
Kolaborasi ini memberi tumpuan kepada penerapan teknologi Artificial Intelligence (AI) dan Computer Vision dalam pengurusan masjid, khususnya melalui pembangunan sistem pengiraan dan pengurusan jemaah berasaskan AI. Kepakaran tersebut disumbangkan oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menerusi pembangunan sistem yang memanfaatkan teknologi Computer Vision dan AI untuk menganalisis imej daripada kamera sedia ada, mengira jumlah jemaah secara automatik serta menyediakan maklumat yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan pemantauan dan analisis corak kehadiran jemaah. Lebih daripada sekadar mengetahui jumlah jemaah, data yang diperoleh berpotensi menjadi asas kepada pengurusan masjid yang lebih sistematik dan berasaskan data. Maklumat mengenai pola kehadiran boleh membantu pihak pengurusan membuat perancangan yang lebih tepat berkaitan penggunaan tenaga, keperluan petugas, penganjuran program dan ceramah, pengurusan kapasiti serta penambahbaikan kemudahan masjid.
 
Pendekatan ini turut membuka ruang kepada penerapan konsep Masjid Pintar (Smart Mosque) yang bukan sahaja menekankan penggunaan teknologi, malah mengoptimumkan sumber dan meningkatkan kecekapan pengurusan. Dalam jangka panjang, penggunaan data sebenar boleh menyokong usaha ke arah masjid yang lebih selamat, cekap, lestari dan responsif terhadap keperluan komuniti. Kerjasama ini juga dijangka menjadi langkah awal kepada pembangunan beberapa aplikasi AI yang lain secara berperingkat, termasuk teknologi berasaskan imej bagi menyokong pengesanan awal api dan asap, pemantauan keselamatan serta pengesanan aktiviti yang mencurigakan.
Matlamat utama kolaborasi ini adalah untuk memastikan teknologi yang dibangunkan bukan sekadar inovatif, tetapi benar-benar berasaskan keperluan sebenar dan mampu memberikan nilai tambah kepada pengurusan serta komuniti setempat.
 
FTKEE merakamkan penghargaan kepada Dr. Ahmad Johari atas inisiatif mencetuskan kolaborasi ini serta pihak Masjid Tepian Putra Kuantan atas keterbukaan dan sokongan terhadap usaha penerapan teknologi AI dalam pengurusan masjid. Kolaborasi seperti ini mencerminkan peranan universiti dalam menghubungkan kepakaran, penyelidikan, teknologi dan keperluan masyarakat, sekali gus memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan daripada idea kepada penyelesaian yang memberi impak sebenar kepada komuniti.
Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network