Dari Makmal ke Lapangan: Pelajar BVE2315 Laksana Projek Penambahbaikan Elektrik Surau
Program SULAM bagi kursus Building Electrical System Maintenance (BVE2315) telah dilaksanakan di Surau Nyiur Manis, Pekan sebagai inisiatif khidmat komuniti di bawah kumpulan CSR SUPER. Program ini diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Rosmadi bin Abdullah selaku lead CSR bersama Ir. Dr. Bakri bin Hassan sebagai lead SULAM, dibantu oleh Ts. Mohd Salmizan bin Mohd Zain dan Encik Mohd Maliki bin Md Saad. Seramai 24 pelajar BVE2315 turut serta dalam program ini dengan penglibatan dua juruelektrik bertauliah serta seorang pensyarah pengiring.
Penganjuran program ini adalah susulan permohonan pihak Surau Nyiur Manis untuk mendapatkan bantuan penyelenggaraan sistem elektrik yang telah usang atau rosak. Melalui penglibatan ini, para pelajar menjalankan pemeriksaan menyeluruh, membaiki dan menggantikan pepasangan yang tidak berfungsi, memasang komponen baharu, menambah soket bagi menyokong aktiviti surau serta melaksanakan ujian keselamatan oleh juruelektrik bertauliah. Keseluruhan kerja penambahbaikan ini dilaksanakan bagi memastikan sistem elektrik surau mematuhi piawaian Suruhanjaya Tenaga serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan jemaah.
Di samping memenuhi keperluan CSR fakulti, program ini juga selari dengan saranan Pemeriksa Luar (EA) BVE supaya pelajar diberi pendedahan praktikal melalui pembelajaran berasaskan komuniti. Sepanjang pelaksanaan, pelajar berpeluang mengaplikasikan kemahiran pendawaian, penggunaan alatan dan pemasangan komponen elektrik secara selamat, selain memahami protokol keselamatan serta pematuhan piawaian industri.
Pengalaman ini turut membantu mereka memperkukuh keupayaan menyelesaikan masalah secara analitikal, mengurus dokumentasi kerja, mentafsir lukisan litar dan merancang tugasan projek dengan lebih teratur. Program ini bukan sahaja memberi manfaat teknikal kepada pelajar, tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab sosial melalui khidmat kepada komuniti setempat.
