UMPSA Raih 2 Pingat Emas di 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025
Pasukan robotik dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul dua pingat emas dalam pertandingan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025, yang berlangsung dari 21 hingga 26 Jun 2025 di Politeknik Merlimau, Melaka.
Dalam penyertaan sulungnya ke pertandingan berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), UMPSA bertanding dalam dua sub-kategori di bawah kategori Robosot: Robosot Race serta Robosot Avoidance dan berjaya muncul sebagai juara dengan bergaya dalam kedua-dua sub-kategori tersebut.
Pasukan terdiri daripada gabungan pelajar dari Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan Kepujian (BTE) dan Program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) dengan Kepujian (BHE) – Dual Degree di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), iaitu Clement Andrews A/L Chandran, Muhammad Hafiz bin Abdul Razad, Ahmad Muizzuddin bin Zainuddin dan Nurain Hanifah binti Che Abd Rauf.
Turut mengiringi dan memberikan bimbingan teknikal serta semangat padu adalah Profesor Ts. Dr. Hamdan bin Daniyal, Ketua Pegawai Maklumat UMPSA, selaku pensyarah pengiring.
Kejayaan ini turut disokong oleh Pusat ADAB, FTKEE, dan Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (EEES). Penghargaan khusus juga untuk POLISAS yang berkongsi pengalaman dalam membantu dalam reka bentuk dan penambahbaikan prestasi robot bertanding.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan UMPSA dalam melahirkan pelajar berkemahiran tinggi, inovatif dan kompetitif dalam bidang robotik serta teknologi kejuruteraan, seiring dengan aspirasi memperkasa pendidikan teknikal negara.