FTKEE UMPSA   

Official Website    

UMPSA Perkasa Pendidikan Tahfiz Melalui Penyerahan 20 Unit HafazanBot kepada SRTNP

UMPSA Perkasa Pendidikan Tahfiz Melalui Penyerahan 20 Unit HafazanBot kepada SRTNP

23 NOVEMBER 2026 | SEKOLAH RENDAH TAHFIZ NEGERI PAHANG (SRTNP) – Teknologi dan pendidikan Islam terus disatukan melalui inisiatif inovasi pendidikan apabila Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyerahkan sebanyak 20 unit HafazanBot berserta modul pembelajaran kepada Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP) menerusi Program Profesor Turun Padang dan Penyerahan HafazanBot, hari ini.
 
Program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA ini merupakan usaha pemindahan ilmu, inovasi pendidikan dan khidmat komuniti bagi memperkenalkan pendekatan pembelajaran hafazan Al-Quran yang lebih interaktif, menarik dan berteraskan teknologi kepada murid sekolah tahfiz.
 
Penyerahan HafazanBot turut disertai Modul HafazanBot yang merangkumi pengenalan inovasi, panduan pengguna (User Manual) serta pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif sebagai panduan kepada guru dan murid dalam memanfaatkan inovasi tersebut bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran hafazan Al-Quran.
 
HafazanBot merupakan hasil projek penyelidikan di bawah Geran CDU250131 yang diketuai oleh Dr. Wan Syahirah W. Samsudin bersama pasukan penyelidik terdiri daripada Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Maniha Abd Ghani, Dr. Syamimi Mardiah Shaharum, Dr. Wan Nur Azhani W. Samsudin, Dr. Zetty Adibah Kamaruzzaman dan Dr. Nur Zahirah Mohd Ali.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Maniha Abd Ghani, diikuti tayangan montaj serta perkongsian mengenai sejarah dan perkembangan pembangunan HafazanBot. Majlis turut diserikan dengan ucapan wakil pihak sekolah, Teacher Adeebah binti Mohamed Razelan sebelum diteruskan dengan sesi penyerahan rasmi inovasi HafazanBot kepada pihak SRTNP.
 
Penggunaan inovasi ini turut diterjemahkan melalui Aktiviti Halaqah HafazanBot yang melibatkan murid-murid Tahap 2 SRTNP. Dalam aktiviti tersebut, 20 unit HafazanBot digunakan dalam kumpulan halaqah bagi memberi peluang kepada murid berinteraksi, meneroka dan mencuba sendiri inovasi berkenaan dalam suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Maklum balas daripada guru dan murid turut dikumpulkan sebagai input bagi penambahbaikan serta pengembangan inovasi pada masa hadapan.
 
HafazanBot mengetengahkan pendekatan integrasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan pendidikan Islam, sekali gus memperlihatkan potensi teknologi sebagai medium sokongan pembelajaran hafazan Al-Quran yang mampu menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif serta mendekati keperluan generasi masa kini.
 
Inisiatif ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memastikan hasil penyelidikan dan inovasi universiti tidak sekadar berkembang di peringkat akademik, malah dapat dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat. Melalui pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran, UMPSA terus menyokong usaha memperkasa pendidikan serta mewujudkan impak positif kepada komuniti.
 
Daripada makmal penyelidikan ke ruang pembelajaran tahfiz, HafazanBot membawa teknologi lebih dekat kepada pendidikan Al-Quran, membuktikan bahawa inovasi mampu menjadi pemudah cara dalam membentuk pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.
Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network