Official Website    

UMPSA NEWS: Profesor Madya Dr. Mohd Herwan Sulaiman: Inovator dalam Kejuruteraan Elektrik dan Kecerdasan Buatan

UMPSA NEWS: Profesor Madya Dr. Mohd Herwan Sulaiman: Inovator dalam Kejuruteraan Elektrik dan Kecerdasan Buatan

PEKAN, 14 Mac 2025 – Dalam dunia Kejuruteraan Elektrik dan Kecerdasan Buatan (AI), nama Profesor Madya Dr. Mohd Herwan Sulaiman semakin dikenali sebagai penyelidik yang aktif dalam pengoptimuman sistem kuasa serta inovasi AI dalam bidang tenaga. 

Beliau yang berasal dari Johor kini berkhidmat sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Beliau telah menghasilkan pelbagai penyelidikan berimpak tinggi yang membantu industri tenaga bergerak ke arah yang lebih cekap dan lestari. 

Beliau juga tergolong dalam 2 peratus saintis teratas di dunia, menurut Elsevier dan Universiti Stanford. 

Dilahirkan dengan minat mendalam terhadap teknologi dan penyelesaian masalah dunia sebenar, Profesor Madya Dr. Mohd Herwan memulakan perjalanan akademiknya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, serta Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Elektrik. 

Beliau mengakui bahawa minatnya terhadap penyelidikan dalam kecerdasan buatan dan sistem tenaga didorong oleh keperluan industri untuk mencari penyelesaian lebih baik bagi menangani masalah ketidakcekapan sistem kuasa.

“Saya mula berminat dengan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar, khususnya dalam sektor tenaga. 

“Ini membawa saya kepada kajian mendalam dalam kecerdasan buatan dan kaedah pengoptimuman seperti algoritma metaheuristik,” ujarnya.

Berkongsi tentang perjalanan penyelidikannya, Profesor Madya  Dr. Mohd Herwan banyak mendapat bimbingan daripada penyelianya ketika di UTM iaitu Profesor Ir. Dr. Mohd Wazir Mustaffa, yang telah membentuk pendekatan beliau terhadap penyelidikan inovatif dan penerapan teknologi moden dalam tenaga.

Sebagai seorang penyelidik yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam teknologi, Profesor Madya Dr. Mohd Herwan menggunakan pelbagai kaedah canggih dalam kajiannya. 

Antara metodologi utama yang digunakan termasuk Rangkaian Saraf Tiruan (ANN) dan Kolmogorov-Arnold Networks (KAN) dalam model ramalan tenaga serta Algoritma Barnacles Mating Optimizer (BMO) dan Evolutionary Mating Algorithm (EMA) untuk pengoptimuman sistem kuasa.

Menurutnya, pendekatan ini memberikan kecekapan yang lebih tinggi berbanding kaedah konvensional, sekali gus meningkatkan ketepatan ramalan tenaga dan degradasi bateri.

“Saya memilih pendekatan ini kerana ia bukan sahaja memberikan ketepatan tinggi, tetapi juga mampu mengatasi batasan kaedah tradisional dalam analisis sistem tenaga,” katanya.

Salah satu sumbangan terbesar Profesor Madya Dr. Mohd Herwan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik adalah pembangunan algoritma Barnacles Mating Optimizer (BMO), satu kaedah baharu dalam pengoptimuman sistem tenaga. Selain itu, kajiannya dalam penggunaan Kolmogorov-Arnold Networks (KAN) untuk anggaran cas bateri membuka ruang kepada penyelidikan yang lebih mendalam dalam industri tenaga.

“KAN masih dalam peringkat awal penerokaan oleh penyelidik lain, tetapi kami telah berjaya membuktikan potensinya dalam bidang tenaga dan degradasi bateri,” jelasnya.

Sebagai seorang pensyarah dan penyelidik, Profesor Madya Dr. Mohd Herwan mengakui bahawa cabaran terbesar adalah untuk mengimbangi antara pengajaran, penyelidikan, dan tugas pentadbiran.

“Pengurusan masa yang baik dan sokongan daripada rakan penyelidik serta pelajar sangat membantu saya menyeimbangkan ketiga-tiga tanggungjawab ini,” katanya.

Beliau juga aktif membimbing penyelidik muda dan telah mengadakan banyak bengkel berkaitan penulisan jurnal menggunakan AI generatif di peringkat fakulti, universiti, hingga ke peringkat kebangsaan. 

Sumber: Profesor Madya Dr. Mohd Herwan Sulaiman: Inovator dalam Kejuruteraan Elektrik dan Kecerdasan Buatan | UMPSA News

Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network