UMPSA dan GUET China Meterai MoA Strategik di Kuala Lumpur: Teraju Kolaborasi Teknologi Pintar Serantau
Kuala Lumpur, 10 April 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Guilin University of Electronic Technology (GUET), China, telah mengadakan majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) yang menjadi pencetus kepada kerjasama penyelidikan teknologi pintar ruang-masa (spatiotemporal intelligent interconnection information technology) antara dua institusi.
Majlis pertukaran ini telah berlangsung secara rasmi di Hotel Pullman, Kuala Lumpur, dan disaksikan oleh Pengerusi Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China.
Perjanjian strategik ini membawa kepada penubuhan Makmal Bersama Belt and Road dalam Teknologi Maklumat Perhubungan Pintar Spatiotemporal, sebagai platform kolaborasi penyelidikan berskala besar yang melibatkan sistem lokasi satelit, komunikasi digital, dan teknologi sambungan pintar.
Majlis ini turut menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (LoI) berkaitan padanan geran penyelidikan berjumlah RMB 50,000, bagi menyokong projek-projek penyelidikan bersama antara UMPSA dan GUET.
UMPSA telah diwakili oleh Profesor Ts. Dr. Abdul Adam bin Abdullah, yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Bioaromatik, mewakili Naib Canselor UMPSA dalam majlis bersejarah ini.
Delegasi GUET diketuai oleh Profesor Dr. Sun Xiyan, Penolong Presiden GUET merangkap Dekan Institut Penyelidikan Nanning, disertai oleh Profesor Dr. Lan Rushi dan Profesor Madya Dr. Yan Suqing, pakar dalam bidang navigasi satelit dan teknologi komunikasi.
Usaha besar ini merupakan hasil inisiatif Profesor Ir. Ts. Dr. Kamarul Hawari bin Ghazali, yang memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan penyelidikan berimpak tinggi antara UMPSA dan GUET, khususnya dalam kerangka kerjasama akademik dan industri serantau.