Pelajar UMPSA-BJTU Kohort 4 Teruskan Pengajian di Beijing
10 Pelajar FTKEE Antara 38 Pelajar Ijazah Dual UMPSA-BJTU Kohort 4 Berlepas ke Beijing
4 September 2025 | KLIA, Sepang
Seramai 38 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kohort 4 bagi Program Akademik Ijazah Dual UMPSA–Beijing Jiaotong University (BJTU) berlepas ke Beijing, China malam ini untuk meneruskan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrik berkaitan rel.
Daripada jumlah tersebut, 10 orang merupakan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
Majlis pelepasan turut disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, bersama wakil agensi penaja iaitu Penolong Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Puan Na’iman Umaira Jamaludin, dan Ketua Penolong Pengarah Unit Luar Negara, Kluster Pembangunan Strategik Pelajar, Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Encik Mohamed Khidzairy Zainal Abidin.
Menurut Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, penghantaran kohort keempat ini menjadi bukti komitmen UMPSA dalam memperluas jaringan akademik bertaraf antarabangsa serta menyediakan peluang pembelajaran global kepada mahasiswa.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Penolong Timbalan Naib Canselor (Antarabangsa & Kerjasama Akademik), Prof. Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Dekan FTKEE, Prof. Madya Ts. Dr. Hamzah Ahmad, serta Pengarah Pusat Kerjasama Akademik & Mobiliti, Prof. Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi.