Official Website    

Memperkukuh Sinergi Global: Lawatan Delegasi Antarabangsa JAIST dan Rakan Kerjasama ke FTKEE UMPSA

Memperkukuh Sinergi Global: Lawatan Delegasi Antarabangsa JAIST dan Rakan Kerjasama ke FTKEE UMPSA

PEKAN – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan delegasi penyelidikan berprestij dalam usaha memperkukuh jaringan kolaborasi akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa. Delegasi tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Yuki Nagao dari Japan Advanced Institute of Science and Technology (JAIST), bersama Prof. Dr. Ahmad Azmin Bin Mohamad (Universiti Sains Malaysia), serta wakil daripada Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI UKM). 
 
Kehadiran delegasi telah disambut mesra oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Herwan Bin Sulaiman, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) FTKEE. Turut hadir mengiringi delegasi adalah Prof. Madya Dr. Ahmad Salihin Bin Samsudin (Timbalan Dekan Penyelidikan & Pengajian Siswazah, FSTI) dan Ir. Ts. Dr. Muhammad Ikram Bin Mohd Rashid (Pengarah Pusat Kejuruteraan Automotif - AEC). Delegasi telah dibawa melawat ke beberapa makmal penyelidikan utama bagi melihat fasiliti dan projek terkini yang sedang dijalankan oleh kumpulan penyelidik (RG) di FTKEE.  Bagi sesi taklimat kepakaran telah disampaikan oleh ketua-ketua kumpulan penyelidik iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Addie Irawan Bin Hashim – Robotics, Intelligent System & Control Engineering (RISC), Prof. Madya Dr. Mohd Mawardi Bin Saari – Advanced Metrology & Sensing (AMES) dan Prof. Ts. Dr. Hamdan Bin Daniyal – Mewakili kluster Sustainable Energy & Power Electronics Research.
 
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk membincangkan peluang kolaborasi penyelidikan strategik dan penerbitan saintifik secara bersama. Pertemuan ini membuka ruang kepada pertukaran idea dan teknologi, khususnya dalam bidang material termaju, robotik, dan tenaga lestari.
 
"Kerjasama antara institusi tempatan dan antarabangsa seperti JAIST ini adalah langkah penting bagi UMPSA untuk terus memacu kecemerlangan inovasi yang memberi impak kepada komuniti global," ujar Prof. Ts. Dr. Mohd Herwan semasa sesi lawatan tersebut.
 
Dengan adanya kunjungan ini, diharapkan sebuah memorandum persefahaman atau kerjasama projek yang lebih konkrit dapat dimeterai, sekaligus meningkatkan visibilitas penyelidik UMPSA di persada dunia.
Image
— Contact
Faculty of Electrical and Electronics Engineering Technology,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan Campus,
26600 Pekan, Pahang, Malaysia.
+609-431 5015
info-ftkee@umpsa.edu.my
— Social Network