Memperkukuh Penyelidikan Tenaga Bersih & Kerjasama Antarabangsa
Prof. Madya Ir. Dr. Muhamad Zahim Sujod telah dijemput sebagai Keynote Speaker di 12th International Conference on Energy, Environment and Earth Sciences (ICEEES2025) yang berlangsung di Wuhan, China pada 23–25 November 2025. Jemputan ini merupakan satu pengiktirafan kepada kepakaran beliau dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta sumbangan aktif dalam penyelidikan berimpak global.
Dalam ucap utama bertajuk “The Future of Wind and Solar Energy: Driving Progress Toward the UN Sustainable Development Goals”, Prof. Madya Ir. Dr. Muhamad Zahim Sujod menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kapasiti tenaga bersih bagi menyokong SDG 7 (Affordable and Clean Energy) dan SDG 9 (Industry, Innovation and Infrastructure). Beliau turut menegaskan bahawa penyelidikan masa hadapan perlu bergerak selari dengan SDG 13 (Climate Action), khususnya bagi mencapai sasaran “zero carbon” menjelang 2050 serta mengawal isu global warming yang kian kritikal.
Antara cadangan penyelidikan yang diketengahkan termasuklah inovasi bahan baharu berasaskan sumber semula jadi untuk pembangunan generasi terbaharu sel suria dan bilah turbin angin, di samping reka bentuk teknologi maju yang mengintegrasikan AI dan IoT dalam sistem tenaga. Dalam sesi yang sama, beliau turut berkongsi perkembangan penyelidikan di bawah geran YPASM, yang memfokuskan usaha mengekang peningkatan suhu di Antartika melalui peralihan daripada tenaga konvensional kepada tenaga yang lebih bersih seperti solar PV dan tenaga angin.
Selain pembentangan persidangan, Prof. Madya Ir. Dr. Muhamad Zahim Sujod turut mengadakan kunjungan akademik ke Wuhan University. Di sana, beliau berpeluang berdiskusi bersama profesor-profesor dari Chinese Antarctic Center of Surveying and Mapping (CACSM)—sebuah pusat penyelidikan unggul di China yang diiktiraf sebagai peneraju dalam bidang surveying, mapping and remote sensing.
Perbincangan tersebut memfokuskan kepada potensi kerjasama penyelidikan Antartika, perkongsian data, peluang permohonan geran YPASM 2026, cadangan penubuhan Memorandum Persefahaman (MoU), penerbitan bersama serta pelantikan profesor pelawat. Pihak CACSM menyambut baik cadangan ini dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama ke arah memperkukuh rangkaian penyelidikan antarabangsa.
Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja berjaya mengukuhkan reputasi akademik Prof. Madya Ir. Dr. Muhamad Zahim Sujod di peringkat global, malah membuka peluang kerjasama strategik yang berpotensi memberi impak besar terhadap agenda penyelidikan tenaga bersih dan sains kutub.
