Majlis Perasmian IEEE 8th International Conference on Electrical, Control and Computer Engineering (InECCE 2025)
Majlis pembukaan InECCE 2025 berlangsung dengan meriah dan telah dirasmikan oleh YBhg. Professor Chm. Dr. Mohd Hasbi Bin Ab Rahim Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (Pengurusan Penyelidikan Dan Inovasi), UMPSA. Sesi ucaptama turut menampilkan dua tokoh hebat, Profesor Dr. Mohammad Osman Tokhi dengan topik Swarm Intelligence Control of Hybrid Dynamic System dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohammad Fadhil Abas dengan topik Machine Learning and Optimization in Drone Anomalies Detection.
Seramai 120 orang peserta hadir persidangan kali ini, manakala 82 artikel dibentangkan pada hari pertama meliputi pelbagai bidang penyelidikan terkini. InECCE 2025 menjadi medan perkongsian ilmu, idea baharu dan peluang jaringan global dalam bidang kejuruteraan elektrik, kawalan dan komputer. Persidangan ini diterajui oleh Prof Madya Ir. Ts. Dr. Normaniha Binti Abd Ghani. Turut hadir Profesor Ts. Dr. Hamzah Bin Ahmad, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik.
Terima kasih diucapkan kepada barisan penaja persidangan kali ini terdiri daripada, WNF Sdn.Bhd selaku penaja utama,Tenaga Nasional Berhad , S Yusof Engineering Sdn Bhd dan EM Systems Sdn. Bhd.
International Conference on Electrical, Control and Computer Engineering (InECCE) yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), UMPSA bermula pada tahun 2011 merupakan sebuah platform global yang menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik, jurutera dan pakar industri untuk berkongsi pengetahuan serta membina kerjasama dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.
InECCE edisi ke-8 (2025), dengan kerjasama IEEE Control Systems Society (Malaysia Section Chapter), akan berlangsung secara hibrid di Swiss-Belhotel Kuantan, Malaysia.
Persidangan ini merangkumi bidang seperti robotik, sistem pintar, kuasa dan tenaga, elektronik gunaan, metrologi termaju serta pengkomputeran pintar, dengan matlamat memperkukuh jaringan antarabangsa dan kerjasama penyelidikan. Semua kertas kerja yang diterima akan diterbitkan dalam IEEE Xplore® Digital Library dan diindeks oleh Scopus.