FTKEE UMPSA Sambut Pelajar Baharu Menerusi Hari Suai Kenal (HSK) Secara Dalam Talian Peringkat Fakulti
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyambut kehadiran pelajar baharu ambilan Mac Sesi 2025/2026 menerusi penganjuran Hari Suai Kenal (HSK) peringkat fakulti yang dilaksanakan secara dalam talian.
Sesi ini diadakan sebagai platform pengenalan kepada fakulti bagi membantu pelajar baharu memahami struktur pengurusan, sistem pengajian serta perancangan akademik sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti. Program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali barisan pengurusan fakulti serta mendapatkan maklumat awal berkaitan hal ehwal akademik.
Seramai 93 orang pelajar telah mendaftar bagi sesi ini yang terdiri daripada pelajar program Bachelor of Electrical Engineering with Honours (BEL), Bachelor of Electronics Engineering Technology (Computer System) with Honours (BTS), Bachelor of Electrical Engineering (Electronics) with Honours – Dual Degree (BHE) dan Bachelor of Technology in Electrical Systems Maintenance with Honours (BVE).
Program ini telah dipengerusikan oleh Dr. Marlina Yakno. Turut hadir ialah Dekan FTKEE, Prof. Ts. Dr. Hamzah Ahmad, Timbalan Dekan Akademik (TDA), Ts. Dr. Raja Mohd Taufika Raja Ismail, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA), Dr. Suliana Ab Ghani, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Dr. Nur Aqilah Othman, serta Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Dr. Norazila Jaalam. Sesi ini turut melibatkan wakil urusan Transfer Kredit, Jawatankuasa First Year Student dan Penasihat Akademik (FYS/PA), serta wakil pelajar daripada Electrical and Electronic Engineering Society (EEES).
Atur cara program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan FTKEE yang mengalu-alukan kehadiran para pelajar baharu serta memberikan kata-kata semangat bagi memulakan perjalanan akademik di universiti. Program kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Dekan Akademik (TDA) dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) yang berkongsi maklumat penting berkaitan hal ehwal akademik, sokongan pelajar serta peluang pembangunan diri sepanjang tempoh pengajian.
Seterusnya, ucapan turut disampaikan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik yang memberikan penerangan lanjut mengenai struktur program pengajian dan keperluan akademik. Sesi diteruskan dengan taklimat berkaitan proses Transfer Kredit bagi membantu pelajar memahami prosedur dan keperluan akademik yang berkaitan. Program diakhiri dengan sesi perkenalan barisan wakil pelajar EEES yang turut berkongsi peranan serta aktiviti persatuan kepada para pelajar baharu.
Diharapkan sesi ini dapat membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran fakulti serta memperoleh maklumat penting bagi memulakan perjalanan akademik mereka di FTKEE, UMPSA.
