FTKEE UMPSA & MIDA Perkukuh Jaringan Kerjasama Strategik Pelbagai Bidang
11 Ogos 2025 | Pekan – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid bagi membincangkan potensi kerjasama strategik sedia ada dan masa hadapan.
Perbincangan melibatkan fakulti dan pusat penyelidikan UMPSA dengan fokus kepada industri bioperubatan, tenaga boleh diperbaharui, teknologi kewangan, teknologi pertanian dan keselamatan makanan. Lawatan ini turut dihadiri Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Herwan bin Sulaiman, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) FTKEE.
Sepanjang lawatan sehari tersebut, delegasi MIDA menghadiri sesi perkongsian bersama pengurusan universiti, ceramah di Fakulti Pengurusan Industri, serta lawatan ke makmal di FTKEE. Diharapkan kunjungan ini dapat memperkukuh hubungan strategik antara UMPSA dan MIDA, seterusnya membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada pembangunan teknologi, penyelidikan serta modal insan negara.