Bengkel Analisis Data Kukuhkan Kolaborasi Akademik FTKEE UMPSA–KV Chenor dalam Memperkasa TVET
MARAN, 10 November 2025 – Kolej Vokasional (KV) Chenor, Maran telah menganjurkan Bengkel Analisis Data yang dikendalikan oleh dua orang pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) iaitu Ts. Dr. Mohd Shafie Bakar dan Ts. Dr. Saifudin Razali.
Bengkel selama tiga jam ini disertai oleh 12 orang pensyarah KV Chenor daripada pelbagai bidang pengkhususan. Melalui dua slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK), peserta diberi pendedahan praktikal menggunakan laporan Projek Tahun Akhir (PTA) pelajar KV Chenor sebagai bahan analisis utama bagi tujuan penambahbaikan proses penilaian dan pelaporan data.
Fokus utama bengkel adalah kepada pendekatan kuantitatif dalam analisis data, termasuk teknik mentafsir dapatan kajian secara sistematik bagi meningkatkan kualiti penyelidikan dan pelaporan projek pelajar.
Sesi bengkel berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah, disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Akademik KV Chenor, Puan Nur Jannah Abd Raffar.
Diharapkan jalinan kerjasama strategik antara FTKEE dan KV Chenor ini dapat diteruskan dalam usaha memperkasa pendidikan dan penyelidikan TVET negara, seiring agenda melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
