11 pelajar FTKEE UMPSA sertai Program Mobiliti Antarabangsa Electro-Explore @ Japan

11 pelajar FTKEE UMPSA sertai Program Mobiliti Antarabangsa Electro-Explore @ Japan

Program Mobiliti Antarabangsa Electro-Explore @ Japan: Meneroka Budaya, Teknologi, dan Kehidupan Komuniti Islam di Jepun Bersama Pelajar UMPSA

Seramai 15 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai pelbagai aktiviti menarik di Jepun melalui program mobiliti antarabangsa Electro-Explore @ Japan dari 1 hingga 7 Oktober 2024. Program ini bertujuan untuk memperluaskan pendedahan pelajar terhadap budaya, teknologi, serta kehidupan komuniti Islam di negara tersebut. Seramai 11 pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan 4 pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) turut serta. Program ini diketuai oleh Nadia Munif dari program Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri serta diiringi oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Prof. Madya Ts. Dr. Norashikin Mat Zain.

Aktiviti pertama dimulakan dengan acara kebudayaan di Asakusa, Jepun, di mana pelajar berpeluang memakai pakaian tradisional Yukata dan Kimono serta mengunjungi kawasan bersejarah yang terkenal dengan seni bina tradisional Jepun. Acara ini bertujuan memberi pendedahan kepada warisan budaya tempatan, di samping menanamkan rasa hormat dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya di seluruh dunia. Interaksi dengan masyarakat tempatan juga membuka peluang bagi para pelajar untuk memahami budaya dan gaya hidup Jepun dari sudut pandang yang lebih dekat.
Selain itu, pelajar UMPSA turut menghadiri kursus peningkatan diri di Shibaura Institute of Technology (SIT) yang terletak di dua kampus berbeza, Kampus Toyosu dan Kampus Omiya. Mereka berpeluang melawat makmal penyelidikan yang canggih, selain terlibat dalam perbincangan akademik yang membuka jalan untuk potensi kerjasama antara UMPSA dan SIT. Pendedahan ini memberi pelajar peluang untuk menyaksikan inovasi teknologi terkini serta memahami peranan penyelidikan dalam kemajuan global.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memahami kepelbagaian agama dan budaya, pelajar UMPSA melawat Masjid Otsuka, salah satu masjid tertua di Jepun. Di sana, mereka mendengar perkongsian inspirasi daripada Encik Haroon Qureshi, setiausaha agung Masjid Otsuka, yang menceritakan pengalamannya sebagai seorang Muslim di Jepun. Pelajar juga berkesempatan melawat sekolah dan tadika Islam pertama di Jepun, yang memperkenalkan mereka kepada perkembangan pendidikan Islam di negara tersebut. Lawatan ini memberi pelajar perspektif yang lebih mendalam mengenai kehidupan komuniti Islam di negara bukan majoriti Muslim, serta meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian agama dan budaya di peringkat global.

Melalui program Electro-Explore @ Japan, pelajar UMPSA memperoleh pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang dapat diaplikasikan dalam usaha membentuk diri sebagai pemimpin masa depan yang berwawasan, berintegrasi, dan bersedia menghadapi cabaran di peringkat global. Program ini bukan sahaja memberi impak kepada perkembangan akademik dan penyelidikan, malah memupuk nilai kemahiran insaniah serta kesedaran terhadap kepelbagaian antarabangsa.

Kredit : HEPA UMPSA Malaysia


Cetak   Emel